SEREMBAN – Seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mambau di sini terpaksa melalui kehidupan baru selepas bapanya meninggal dunia akibat Covid-19 hujung Jun lalu.
Pelajar tersebut, Adli Adnan, 16, berkata, sebelum ini arwah bapanya, Adnan Rawi yang menanggung mereka sekeluarga kerana ibu tidak berkerja.
Katanya, bapanya meninggal dunia selepas kira-kira seminggu dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban di sini.
“Kali terakhir kami berjumpa ayah pulang ke rumah untuk membaiki kereta yang rosak, tetapi ketika itu bapa tidak mahu salam kerana dia beritahu rasa lain dan tidak sedap badan,” katanya ketika ditemui pada program penyampaikan sumbangan keluarga pelajar B40 di Sekolah Menengah Kebangsaan Mambau di sini hari ini.
Adli memberitahu, bapanya berpesan supaya belajar rajin-rajin dan menjadi manusia yang berguna.
“Ayah juga pesan supaya jaga hubungan adik beradik dan jaga diri baik-baik. Kehilangannya memang buat saya terasa kerana tiada lagi teguran kalau buat salah, ” katanya yang bercita-cita menjadi tentera laut.
Jelasnya, setelah pemergian bapanya, kakak sulung yang menanggung keluarga, namun ketika ini kakaknya tidak dapat bekerja kerana Perintah Kawalan Pergerakan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929