PETALING JAYA – Penuh makna dan seperti memberi bayangan dirinya akan pergi buat selama-selamanya.
Itu antara ungkapan yang terluah selepas menyaksikan sepotong video nyanyian terakhir Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, 37, yang dimuat naik oleh suaminya Shuib Sepahtu dalam akaun YouTube, Shuib Channel tengah malam tadi.
Dalam ruangan kapsyen, Shuib memaklumkan itu merupakan lagu terakhir yang dinyanyikan Allahyarham isterinya pada 28 Julai sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos lalu.
“Lagu terakhir nyanyian bidadariku pada 28 Julai 2021,” tulis Shuib ringkas.
Dalam video tersebut, Sarah yang memakai telekung berwarna putih menyanyikan lagu penyanyi Indonesia terkenal, Agnes Monica yang berjudul Tanpa Kekasihku dengan penuh beremosi.
Difahamkan makna disebalik lagu tersebut ialah mengenai individu kehilangan kekasihnya yang pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.
Lebih hiba, setiap bait lirik lagu tersebut seperti memberi bayangan Sarah akan meninggalkan suamid dan keluarga tercinta dan pergi ke negeri abadi.
Dalam ruangan komen, rata-rata netizen sebak sepanjang mendengar video nyanyian Allahyarham berdurasi tiga minit tersebut.
“Ayat ‘biar semua tahu kematian tak mengakhiri cinta’ sangat dalam maknanya. Sebak mendengar nyanyian Allahyarham,” komen seorang pengguna YouTube.
“Meremangnya dengar nyanyian terakhir Allahyarham terutama bahagian ‘beraninya kau pergi dan tak kembali’. Semoga syurga tempatmu,” tulis seorang lagi wargamaya.
Sehingga kini, video tersebut telah menerima lebih 132,000 tontonan dan 25,000 tanda suka.
Untuk rekod, negara dikejutkan dengan kematian Siti Sarah yang disahkan meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Isnin lalu pada pukul 5.13 pagi.
Allahyarham dikejarkan ke hospital berkenaan sejak 4 Ogos lalu selepas tahap oksigen dalam tubuhnya menurun dan ditidurkan sebelum melahirkan anak bongsunya, Ayash Affan secara pembedahan pada 6 Ogos
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pusu, Gombak pada 9 Ogos.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Kesetiaan itu turut meninggalkan tiga orang lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin yang berusia enam tahun. – K! ONLINE