PETALING JAYA – Selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ditidurkan akibat jangkitan Covid-19 tahap empat, abang kepada Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Ahmad Firdaous telah sedarkan diri.
Berita menggembirakan itu dikongsikan pelawak yang juga adik iparnya, Shuib atau nama lengkapnya, Shahmira Muhamad, 37, sebentar tadi.
“Allahuakbar! Allah Maha Besar! Syukur dah bukak mata! Terima kasih kepada yang mendoakan.
“Tapi kita sambung lagi doa untuk yang aedang bertarung nyawa. Kita nak semua orang kembali sihat balik jumpa keluarga. Amin, syukur Ya Allah,” coret Shuib dalam Instagram.
Terdahulu, Ahmad Firdous Raissuddin dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang, Selangor, kelmarin.
Perkara itu dikongsi sendiri Shuib menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya dengan meminta orang ramai mendoakan kesembuhan abang iparnya.
Semalam, Ahmad Firdous ditidurkan di ICU dan dilaporkan berada dalam keadaan yang ‘tidak berapa baik.’
“Doktor menjelaskan situasi dialami abang ipar hampir sama dengan arwah Siti Sarah. Paru-paru abang ipar tidak baik,” katanya selesai majlis tahlil dan bacaan Yassin untuk Allahyarham Siti Sarah yang dikendalikan secara virtual, malam tadi. – K! ONLINE