GEORGE TOWN – Dua nelayan ditemui selamat selepas empat jam dilaporkan terapung di laut setelah bot yang dinaiki karam di kedudukan kira-kira 1.9 batu nautika tenggara Pulau Kendi semalam.
Mangsa, S. Manimaran, 50, dan Azizi Halim, 30, ditemui sepasukan anggota Maritim Malaysia (APMM) ketika melakukan rondaan Op Benteng/Op Pertiwi kira-kira pukul 7 petang.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, anggota Kapal Maritim (KM) Kimanis telah mengesan dua nelayan yang sedang berpaut pada bot yang terbalik dan meminta bantuan.
Menurutnya, siasatan mendapati bot yang berpangkalan di Tanjung Piandang, Perak itu mengalami kebocoran semasa sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.
“Mereka (nelayan) gagal mengepam keluar air yang memasuki bot sehingga menyebabkan bot itu terbalik. Mereka dilaporkan terapung selama empat jam sebelum ditemui anggota KM Kimanis.
“Kedua-dua mangsa dibenarkan pulang selepas mendapati mereka tidak mengalami sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Orang awam diminta melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang: 04-2626146. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929