PETALING JAYA – Pelawak terkenal, Achey memaklumkan bahawa tahap kesihatan ibunya, Ngaisah Hassan, 73, yang dijangkiti Covid-29 kini berada dalam keadaan sangat tidak baik.
Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 34, berkongsi khabar duka tersebut menerusi satu hantaran Instagram hari ini.
Difahamkan, ibunya kini berada di tahap tiga Covid-19 namun menerima rawatan di wad tahap empat di Hospital Segamat, Johor.
“Saya tahu doa anda sangat padat ketika ini tetapi jika ada ruang kecil yang kosong, isikannya untuk mak saya, Ngaisah Hassan.
“Buat masa ini keadaannya sangat-sangat tidak baik,” tulis ahli kumpulan Bochey itu dalam entri tersebut.
Semalam, dia juga turut memberitahu doktor menasihatkan ibunya untuk tidur dalam keadaan meniarap bagi memudahkan proses penafasan berjalan.
Malah, menurut Achey, ibunya memberitahu dia lebih selesa tidur meniarap kerana posisi tersebut telah memabntu melancarkan lagi proses penafasannya.
Selain masalah penafasan, Ngaisah turut mengalami simptom demam dan hilang deria rasa serta turut diberi ubat anti radang kerana masalah radang paru-paru yang dialaminya.
Sebelum ini, Achey pernah memaklumkan tujuh ahli keluarganya termasuklah ibu, abang dan kakaknya disahkan positif Covid-19.
Dalam pada itu, dia turut memaklumkan tugasnya sekarang adalah memastikan barangan asas untuk keluarga di rumah dan keperluan untuk keluarganya yang berada di hospital terjaga.
“Setakat ini, apa yang keluarga saya perlukan, hanya saya dan isteri sahajalah menjadi runner. Walaupun dalam keadaan tangan yang patah, terpaksa untuk membuat semua itu demi keluarga yang sedang melawan virus Covid-19,” ujarnya baru-baru ini
Achey juga pernah mendedahkan keluarganya mula dijangkiti virus maut tersebut selepas berniaga dengan membuka gerai jualan di tepi jalan. – K! ONLINE