PETALING JAYA – Lebih daripada 86 peratus daripada 8,486 warga kerja Proton telah divaksin sepenuhnya, manakala 98 peratus sudah menerima dos pertama mereka susulan pusingan kedua pelaksanaan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) minggu lalu.
Turut menyertai program tersebut ialah warga kerja pembekal dan wakil jualan Proton.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Li Chunrong berkata, ekosistem perniagaan Proton melibatkan lebih daripada 60,000 orang dan pihaknya amat berterima kasih kepada pihak kementerian terlibat atas bimbingan mereka bagi memastikan semua yang berdaftar mendapat vaksin masing-masing.
“Kami menjangkakan lebih 80 peratus daripada rangkaian operasi kami akan mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang akhir Ogos dan ini akan membantu Proton memulakan operasi sebaik sahaja industri automotif diberi lampu hijau untuk kembali beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai persediaan, Proton telah meneliti semula prosedur perniagaannya untuk mengurangkan kebarangkalian penyebaran jangkitan penyakit.
Operasi di setiap rangkaian telah diperketatkan untuk melindungi pelanggan dan pekerja, manakala proses pembuatan di semua kilang Proton akan dipantau untuk mengurangkan sebarang risiko kebolehjangkitan kepada operasi di pelbagai peringkat.
“Kami telah menghasilkan proses baharu di semua peringkat dari kilang pembuatan hingga ke pejabat korporat bagi memastikan persekitaran bekerja yang baharu dan selamat,” katanya.
Operasi di setiap rangkaian telah diperketatkan untuk melindungi pelanggan dan pekerja sementara proses pembuatan di semua kilang PROTON akan dipantau untuk mengurangkan sebarang risiko kebolehjangkitan kepada operasi di pelbagai peringkat.