PETALING JAYA – Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) telah memeterai memorandum persefahaman dengan Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) untuk membangunkan infrastruktur kenderaan elektrik (EV) dan pemerkasaan rantaian nilai EV di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif, MARii, Datuk Madani Sahari berkata, melalui usaha sama tersebut, sebanyak 1,000 stesen pengecas akan dibina di seluruh negara menjelang 2025.
Menurutnya, kedua-dua pihak juga akan membangunkan aplikasi kesalinghubungan yang merangkumi e-pembayaran, carian stesen pengecas, sistem pengurusan bateri dan rangkaian pusat servis bagi ekosistem pengecasan EV.
“Ini merupakan pencapaian penting hasil daripada kerjasama pihak awam dan swasta bagi merealisasikan penglibatan rakyat di dalam teknologi nilai tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Madani menjelaskan, aktiviti pembangunan tersebut akan diselaraskan melalui Pusat Kecemerlangan EV yang bakal ditubuhkan.
Pusat Kecemerlangan EV akan membolehkan penyelarasan dan integrasi ekosistem pengecasan bagi memenuhi keperluan pengguna.
Ia juga beroperasi sebagai pusat sokongan lepas jualan dan melaksanakan latihan, pembaikan, waranti, khidmat nasihat, komunikasi, pemasaran serta jalinan usaha sama strategik di dalam bidang berkaitan kenderaan elektrik
Sementara itu, Presiden Pekema, Zainuddin Abdul Rahman menerangkan, sebanyak 11 stesen pengecas telah dibina tahun ini.
Pekema juga komited untuk membangunkan pusat perkhidmatan lepas jualan dan mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi baharu.