DORTMUND – Pemain baharu Borussia Dortmund, Jude Bellingham enggan menjadikan nilai perpindahan mahal dibayar kelab Bundesliga itu untuk mendapatkan khidmatnya pada musim ini sebagai satu tekanan.
Bellingham telah memecahkan rekod sebagai pemain remaja berusia 17 tahun paling mahal di dunia apabila Dortmund bersetuju untuk membayar harga £25 juta (RM137 juta) kepada kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Birmingham City bulan lalu.
Susulan itu, Bellingham mahu menjadikan nilai tersebut sebagai pemangkin semangat untuk dia beraksi dengan lebih baik sekali gus membantu pasukan kendalian Lucien Favre tersebut mencapai sasaran musim depan.
“Saya tidak terlalu menghiraukan apa yang orang kata mengenai nilai perpindahan ini. Saya menghargai keputusan Borussia Dortmund kerana mereka percaya dengan bakat saya.
“Secara jujur, saya mahu lakukan yang terbaik dengan membantu pasukan meraih trofi pada musim baharu nanti dan buktikan bahawa pelaburan mereka untuk menandatangani saya dengan harga tersebut sangat berbaloi,” katanya.
Mengulas lanjut, Bellingham mengakui, dirinya masih lagi menyesuaikan diri dengan keadaan di Jerman yang sangat berbeza berbanding ketika menetap di England.
“Ini adalah fasa baharu dalam karier saya dan keputusan untuk berhijrah selepas lapan tahun di Birmingham adalah sangat sukar. Apa yang pasti, saya perlu lebih matang dan percaya dengan keupayaan diri sendiri,” jelasnya. – AGENSI