Pendedahan Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd. Asri Hamid mengenai kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor pada Sabtu lalu yang tular di media sosial mengejutkan ramai pihak.
Menerusi tiga siaran langsung di Facebook Hot Burger Malaysia, Mohd. Asri atau Asri Janggut mendakwa adalah mustahil pihak berkuasa tidak mengetahui tentang premis haram itu yang telah lama bertapak di kawasan tersebut.
Dakwanya, pelbagai laporan telah dibuat kepada pihak berkuasa termasuk Bukit Aman, namun tiada sebarang tindakan diambil. Sebaliknya, aduannya itu diketahui pemilik premis judi.
Pendedahan lelaki itu turut disokong oleh netizen yang mendakwa telah lama menyedari perkara tersebut.
Bagaikan tersentak semasa tidur, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mula mengorak langkah menggempur premis judi, arak dan gerai makan haram yang terdapat di sekitar Sungai Buloh.
Selain itu, pihak berkuasa terbabit telah mengeluarkan sebanyak 101 notis terhadap pemilik premis termasuk kilang, restoran dan rumah kedai yang didapati membina struktur tambahan pada bangunan tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Tindakan itu mengundang kata-kata sinis orang ramai. Pihak berkuasa sepatutnya menggempur premis judi haram, bukan gerai peniaga kecil.
Hasil pendedahan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melakukan siasatan dan menangkap sembilan staf termasuk pegawai kanan MBSA bagi membantu siasatan kes rasuah kerana melindungi premis perniagaan haram di sekitar Sungai Buloh.
Tindakan penguatkuasaan yang dijalankan hampir setiap hari itu secara tidak langsung membuktikan pendedahan Mohd. Asri dan dakwaan orang ramai ada asasnya.
Seperti diketahui umum, judi haram bukanlah satu perkara baharu, malah ia telah lama bertapak di negara ini dan mengaut keuntungan yang banyak.
Ia diibaratkan seperti patah tumbuh hilang berganti. Tutup di sini, buka pula di sana. Tutup dua hari, apabila sudah reda dengan serbuan, premis tersebut dibuka semula.
Sehubungan itu, perkembangan tindakan penguatkuasaan yang diambil pada ketika ini diharap tidaklah sekadar hangat-hangat tahi ayam. Diketuk baru bergerak. Paling penting, jangan juga pilih bulu dalam sebarang tindakan penguatkuasaan yang dilakukan.
Semua pihak berkuasa perlu serius menangani pusat judi haram serta gerai-gerai haram didirikan warga asing. Mohd. Asri juga diibaratkan seperti whistler blower, pemberi maklumat yang ingin menyuara rasa ketidakpuasan hati setelah pelbagai aduan dibuatnya.
Pendedahan berani Asri Janggut ini sebenarnya mengambil risiko besar, namun dek kerana tidak tahan aduannya tidak dilayan, itulah jalan terakhir yang diambilnya sehingga sanggup menggadaikan keselamatan diri agar kebenaran diketahui umum.
Siapa yang harus bertanggungjawab dalam isu ini? Penulis percaya pendedahan yang dilakukan Mohd. Asri bukan hanya di Sungai Buloh, banyak lagi di lokasi lain.
Apa yang penting, bila kita diberi kuasa, buatlah selayaknya demi kesejahteraan bersama. Janganlah mudah menunding jari atau sekadar melepas batuk di tangga.