BERLIN – Sebuah sarkas di bandar Munich menjual najis singa dan harimau peliharaannya bagi menampung perbelanjaan harian sepanjang tempoh perintah berkurung Covid-19, lapor sebuah portal berita.
Penjinak singa Sarkas Krone, Martin Lacey berkata, najis 26 ekor singa dan harimau tersebut dijual di dalam balang kaca pada harga €5 (RM20) satu balang.
“Kami mendapat idea menjual najis singa sebagai bahan jenaka untuk menghiburkan orang ramai dan mengalihkan fikiran mereka daripada pandemik Covid-19, namun lama-kelamaan, ia menjadi popular.
“Berikutan sambutan menggalakkan itu, kami mendirikan sebuah gerai berbentuk emoji najis di hadapan ibu pejabat kami di Munich untuk memudahkan orang ramai membelinya. Mereka yang ingin membeli produk ini boleh hadir di sana di antara pukul 10 pagi hingga 2 petang (waktu tempatan),” ujarnya.
Katanya, orang ramai membeli najis itu bukan sahaja untuk membantu pembiayaan haiwan sarkas tersebut atau sebagai bahan gurauan, namun turut menjadikannya sebagai penghalau binatang lain.
“Pelanggan memberitahu kami bahawa najis singa sangat berkesan untuk menghalang haiwan lain seperti kucing dan babi hutan daripada menghampiri kebun, kereta serta kabel elektrik mereka,” ujarnya.
Bagaimanapun, selepas jualan najis itu menjadi begitu popular, sesetengah pihak khususnya persatuan pencinta haiwan mendakwa bahawa najis singa mengandungi bakteria yang boleh membahayakan nyawa manusia serta hidupan liar.
“Disebabkan isu tersebut, kami telah menghantar sampel najis singa dan harimau untuk diuji, namun kami syak dakwaan yang dibuat persatuan pencinta haiwan itu adalah palsu.
“Sarkas Krone memang sudah lama menjadi sasaran aktivis seperti mereka berikutan kami menggunakan binatang dalam persembahan kami,” tambahnya. – AGENSI