KUALA LUMPUR – Kecederaan paha kanan meranapkan impian bekas juara Asia, Leong Jun Hao untuk bergelar juara Divisyen 1 Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Disebabkan itu, Jun Hao, 21, terpaksa akur tewas straight set 13-21, 8-21 kepada pemain muda, Ng Tze Yong pada aksi final perseorangan lelaki di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.
Ia sekali gus menyaksikan atlet dari Setapak, Kuala Lumpur itu kempunan untuk meraih kejuaraan berganda selepas menjuarai saingan Divisyen 2 minggu lalu.
Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Tze Yong untuk menjuarai kejohanan tersebut agar mencerahkan peluangnya terpilih mewakili negara ke saingan Piala Thomas di Aarhus, Denmark pada Oktober depan.
“Walaupun saya tahu Jun Hao ada mengalami kecederaan tetapi saya tetap tidak memberi ruang kepada dia. Saya mungkin akan merasai tekanan kalau mata antara kami rapat.
“Sasaran saya adalah cuba menempatkan diri dalam skuad Piala Thomas tetapi masih banyak lagi saya perlu perbaiki terutama dari aspek kekuatan dan kelajuan,” kata Tze Yong. – K! ONLINE