fbpx

Elisya Sandha gantung impian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELISHA SANDHA

TIDAK keterlaluan andai dikatakan graf populariti pelakon, Elisya Sandha sekadar mendatar dan berada pada tahap statik.

Ibarat sugul dalam mekar, waima sudah memahat nama dan memberi salam perkenalan sejak hampir tujuh tahun lalu, namanya masih kurang menjadi sebutan

Momentum perjalanan karier seninya sebagai pelakon juga boleh dikatakan agak perlahan dan tidak mampu menandingi kehebatan kakak kandungnya, Fasha Sandha.

Sering dijadikan perbandingan sejak mula menguak jendela seninya, Elisya akui langsung tidak pernah ambil hati apatah lagi menjadikan perbezaan tersebut sebagai asbab untuk angkat kaki meninggalkan dunia glamor.

GADIS kelahiran Pulau Pinang ini menyedari graf popularitinya yang hanya mendatar dan sedikit lewat untuk dikenali.

Menurut Elisya atau nama sebenarnya Nur Elisya Hassan, dia juga tidak pernah berkecil hati dan menganggap takdir dan perjalanan rezeki setiap orang berbeza-beza.

“Bab populariti dan lambat naik tu memang saya tak dapat nak elak. Pada saya biarlah populariti itu datang sekali dengan bakat yang dianugerahkan.

“Biarlah saya membina tapak secara perlahan-lahan. Tak salah kalau lambat naik asalkan tidak juga cepat merudum,” katanya membuka kata bersama HibGlam.

Menyambung cerita, pelakon yang mula dikenali kehadirannya menerusi drama Pujaan Hati Kanda itu memberitahu, impiannya untuk mempelbagaikan watak dalam lakonan musnah sekelip mata.

ELISYA turut tidak terlepas daripada terkesan dengan pandemik yang membuatkan hampir semua industri terjejas teruk

Musnah

Jelas Elisya, sebagai anak seni pastinya dia mempunyai impian tersendiri untuk membawakan pelbagai watak, sekali gus membuktikan bakat sebenar yang dimiliki.

“Sejak tahun lalu, karier saya memang menurun dan merudum. Saya ada impian dan perancangan untuk membawakan pelbagai watak sekali gus menonjolkan kebolehan sendiri kepada umum.

“Tetapi disebabkan pandemik, impian tersebut musnah. Saya jenis suka cabar diri dan bereksperimen dengan watak yang dibawa.

“Setiap tahun saya ada letak sasaran untuk bawakan variasi watak termasuklah yang jauh lebih mencabar kemampuan diri sendiri,” katanya.

Tambah wanita berusia 22 tahun itu lagi, dia juga seperti anak seni lain yang kini tiada pilihan untuk berbuat apa-apa sementara semua aktiviti penggambaran terhalang disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

ELISYA tidak kisah andai dirinya terus dibanding-bandingkan dengan kakaknya, Fasha Sandha yang lebih awal meniti puncak populariti dan masih relevan hingga ke saat ini.

Katanya, industri kini malap dan semua penggiat seni termasuk dirinya tidak dapat berkembang angkara Covid maut yang menerpa.

Tambah pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Bila Chacha Masuk Asrama pada 2014 itu, perkara tersebut secara tidak langsung akan membuatkan golongan sepertinya terpaksa bermula daripada bawah semula jika keadaan sudah kembali normal kelak.

Ditebak mengenai alternatif yang terpaksa dilakukan demi meneruskan kehidupan mendatang, Elisya mengakui dia masih ada tawaran lain yang boleh menyumbang pendapatan kepadanya.

“Walaupun sedikit terjejas dan tidak dapat menjalankan penggambaran, namun tawaran lain tetap kunjung tiba.

“Selain membuat ulasan berbayar dalam media sosial, saya juga aktif dengan kempen-kempen pengiklanan dan daripada situlah saya dapat jana pendapatan,” ujarnya.

ELISYA menyerahkan segala perancangan dan urusan pernikahannya dengan tunang, Uzair Haqimy dipermudahkan.

Lama bersedia, berserah

Diaju pertanyaan mengenai majlis perkahwinannya bersama anak lelaki sulung penerbit dan pelakon, Sheila Rusly yang terpaksa ditunda dek pandemik, dia reda dengan perkara tersebut.

Akuinya, dia sebenarnya sudah lama dan benar-benar bersedia untuk melangkah ke fasa baharu, sekali gus bertukar gelaran menjadi isteri orang.

Namun, bak kata orang, kita hanya merancang tetapi Tuhan yang menentukan, begitu jugalah yang perlu diterima Elisya dan tunangnya, Uzair Haqimy.

“Kalau cakap soal kecewa, ya memang kecewa dan ralat. Apa yang dirancang terpaksa ditunda dulu. Nak atau tak memang terpaksa ikutkan.

“Kalau bercakap mengenai persiapan, tiada sebarang persiapan besar-besaran dilakukan sebab kita sendiri pun tak tahu bila majlis pernikahan dan persandingan dibenarkan.

“Jadi tak mengapalah, biarlah keadaan reda terlebih dahulu. Nanti kalau dah okey semuanya, barulah kami bernikah,” katanya yang meminta untuk semua mendoakan urusannya dipermudahkan.

Berkongsi sedikit mengenai perkembangan terkini, Elisya memberitahu, naskhah terbaharunya, Hello, Jangan Tapau Cintaku kini sedang bersiaran menerusi slot Lestary TV3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI