Patah tumbuh hilang berganti. Peribahasa yang mudah diungkap tetapi selalunya payah untuk menjadi kenyataan untuk mencari yang serupa.
Kematian Tan Sri P. Ramlee contohnya meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam industri hiburan tanah air kerana sehingga kini tiada yang dapat menggantikannya. Allahyarham ialah seorang legenda sebenar.
“Aku mati dalam iman,” kata arwah dalam satu adegan Ali Baba Bujang Lapok.
Sama seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari yang digeruni kawan dan lawan ekoran kehebatan dalam bola sepak ketika hayatnya. Tiada pengganti sehingga kini.
Kematian ketika musim Covid-19 ketika ini sangat sukar. Baik mati di rumah atau di hospital. Banyak prosedur yang perlu diikuti dan yang lebih sedih, majlis tahlil dan bacaan Yasin hanya dapat dilakukan secara online. Google Meet atau Zoom, ini yang paling popular.
Minggu ini sahaja, saya kehilangan lebih kurang empat orang kenalan yang masih muda berusia di bawah 48 tahun. Semuanya angkara Covid-19.
Sticker atau pelekat ucapan takziah untuk kematian di dalam aplikasi media sosial seperti WhatsApp dan Telegram seakan wajib disimpan ketika ini kerana akan digunakan pada bila-bila masa tanpa kita duga.
Urusan si mati di dunia habis tatkala dia selamat dikebumikan tetapi bagaimana dengan nasib perjalanan hidup ahli keluarga seperti suami, isteri dan anak-anak yang ditinggalkan?
Untuk yang reda dan tabah seperti pelawak Shuib, kematian bidadari syurganya, Siti Sarah Raissuddin pada Isnin lalu diterima dengan terbuka. Namun, dalam hati siapa yang tahu.
Sudah tentu dengan ketenangan air muka Shuib memberikan gambaran kepada kita yang dia memang berserah dengan ketentuan itu, apatah lagi segala kebaikan Allahyarham isterinya menjadi sebutan sebaik dia meninggal dunia.
Situasi ini mengingatkan saya kepada kata-kata seorang pemandu syarikat tempat saya bekerja sebelum ini.
“Bang, ada kes jenayah ni. Orang mati dibunuh. Boleh pandu laju sikit?” Jawapan dia bukan baiklah, atau enggan kerana takut kena saman atau kemalangan tetapi: “Apa yang hendak dikejarkan, yang mati biarlah dia mati, kita yang ada ni kena teruskan hidup.”
Walaupun ketika itu kedengaran seperti lucu, tetapi jika difikirkan ada benar dengan kata-kata itu walaupun dia hanya seorang pemandu kerana Islam mengajar kita melihat kepada apa yang diucapkan bukan siapa yang mengucapkan.
Buat Shuib, pasti ketika ini ada pihak yang sedang memerhatikan anda kerana harta dan bukannya cara diperoleh ketika saudara melalui saat sukar bersama arwah Siti Sarah.
Berpeganglah kepada janji yang telah saudara ikrarkan baru-baru ini. Bukan ingin menyibuk, tetapi ia lebih kepada kata-kata nasihat rakan media kepada artis yang dikenali dengan sifat senang didekati dan sentiasa berbuat kebaikan.
Dengan kes kematian melebihi 11,000 ketika ini, apa lagi yang kita harapkan dengan suasana kehidupan ketika ini?
Yang ada hanya berita kematian, bunuh diri, gila kuasa, salah-menyalah dan kesukaran.