PARIS – Kehadiran Lionel Messi yang sah menjadi pemain Paris Saint-Germain pastinya menjadi kebanggaan pemiliknya, Nasser Al-Khelaifi dan seluruh peminat mereka yang terus memasang impian menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL).
Bagaimanapun, ia bukanlah situasi yang baik buat ketua jurulatih mereka, Mauricio Pochettino yang perlu menanggung beban besar untuk memastikan pasukan itu meraih semua kejayaan dalam saingan yang disertai musim baharu nanti.
Pochettino tidak akan diberi indeks petunjuk prestasi yang lebih rendah kecuali perlu memenangi saingan domestik di Perancis serta paling utama adalah trofi Eropah yang sudah sekian lama diinginkan.
Bekas pemain PSG, Osvaldo Ardiles percaya jurulatih dari Argentina itu tidak berdepan tugas mudah untuk mengatur strategi dan mencipta kombinasi sempurna buat pasukannya yang dibarisi pemain bintang dunia.
“Saya terfikir mengenai Messi, Neymar dan Kylian Mbappe tetapi saya terfikir juga mengenai Pochettino. Bukan tugas mudah yang bakal beliau hadapi biarpun memiliki pemain yang diidamkan oleh semua jurulatih di dunia.
“Tiga pemain sensasi bersama beberapa pemain bintang lain, sudah pasti sukar untuk menguruskan mereka. Secara prinsip, ini adalah pasukan yang bakal memenangi UCL dan kegagalan hanya akan membuatkan Pochettino dalam masalah,” katanya.
Rekod karier kejurulatihan Pochettino menyaksikan beliau gagal meraih sebarang trofi sepanjang lima tahun bersama Tottenham Hotspur sebelum menyertai PSG pada Januari lalu yang menyaksikan kejuaraan Ligue 1 terlepas ke tangan Lille.
Situasi yang dihadapi PSG dan Pochettino pernah dilalui oleh Real Madrid yang dibimbing oleh Manuel Pellegrini pada musim 2009/10 lalu di mana ketika itu mereka memiliki Cristiano Ronaldio, Kaka, Karim Benzema dan ramai lagi pemain bintang.
Namun, musim itu mereka menamatkan saingan tanpa sebarang trofi sekali gus menyaksikan Pellegrini dipecat dan digantikan oleh Jose Mourinho. – AGENSI