BELFAST – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel menjelaskan keputusannya memasukkan penjaga gol, Kepa Arrizabalaga sebagai pemain gantian bukannya dibuat secara spontan.
Arrizabalaga menjadi wira The Blues apabila menyelamatkan dua sepakan penalti bagi membantu pasukan itu menang 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti untuk menjulang trofi Piala Super Eropah.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Windsor Park awal pagi semalam, kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 hasil jaringan Hakim Ziyech dan Gerard Moreno sehingga mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
Percaturan Tuchel membawa masuk Arrizabalaga menggantikan Edouard Mendy nyata berbaloi apabila penjaga gol Sepanyol itu menyelamatkan sepakan Aissa Mandi dan Raul Albiol.
“Saya tidak melakukan keputusan tersebut secara spontan sebaliknya memiliki statistik setiap pemain. Kepa seorang penjaga gol yang cukup cemerlang apabila berdepan penalti.
“Kami memang bersedia dengan setiap kemungkinan. Mendy juga terbuka dan menerima keputusan yang dibuat demi pasukan. Dia langsung tidak menunjukkan perasaan kecewa apabila dikeluarkan,” kata beliau.
Meskipun memulakan saingan musim baharu dengan langkah kanan, namun Chelsea menerima khabar kurang gembira apabila kecederaan bahu yang dialami Ziyech dilaporkan serius. – AGENSI