AUSTRIA – Keputusan Valentino Rossi mengumumkan persaraannya dalam kancah Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan menyebabkan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT) perlu mencari pengganti untuk mengisi kekosongan tersebut.
Bukan itu sahaja, kemungkinan terdapat dua kekosongan dalam pasukan SRT memandangkan Franco Morbidelli turut berhasrat untuk menyertai Fabio Quartararo bersama Monster Energy Yamaha pada musim 2022.
Ini kerana Maverick Vinales membuat keputusan untuk menamatkan kontraknya lebih awal dan bukannya tahun depan seperti yang sepatutnya.
Justeru, pelumba uji Yamaha, Cal Crutchlow berpendapat pelumba berusia 24 tahun, Toprak Razgatlioglu yang kini bersaing dalam perlumbaan WSBK antara calon terbaik untuk bersama pasukan SRT pada musim depan.
Sebelum ini, nama Razgatlioglu sudah disebut-sebut berada dalam radar SRT untuk menggantikan tempat Rossi.
Bagaimanapun, pelumba kelahiran Turki itu menamatkan khabar angin tersebut dan menandatangani perjanjian dua tahun untuk kekal dalam saingan WSBK bersama Yamaha.
“Rasanya sangat senang untuk melihat dia (Razgatlioglu) dalam perlumbaan MotoGP dan saya fikir dia mempunyai bakat yang hebat. Dia mampu lakukan terbaik untuk perlumbaan di MotoGP.
“Menjadi pelumba MotoGP adalah mengenai menjadi yang terpantas dan mampu menghasilkan keputusan yang baik. Ketika ini, pasukan dan pengeluar mahu pakej yang lengkap dan saya rasa Razgatlioglu memiliki pakej tersebut.
“Dia (Razgatlioglu) tahu nilainya dan saya yakin dia mampu untuk bersaing di MotoGP, malah bagus untuk mencabar perebutan gelaran pada musim depan,” katanya.
Namun, Crutchlow menegaskan segalanya keputusan akan ditentukan oleh pasukan dan juga Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Lin Jarvis. – AGENSI