CYBERJAYA – Aplikasi pemetaan capaian internet akan dilancarkan dalam masa terdekat sebagai usaha membantu pengguna memilih syarikat telekomunikasi (telco) yang dapat memberi perkhidmatan terbaik di kawasan masing-masing.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya menyedari ada sesetengah kawasan mengalami capaian internet yang lemah dan menyukarkan pengguna dalam mengakses kemudahan jalur lebar itu.
“Namun dengan adanya aplikasi ini nanti, ia akan dapat membantu pengguna memilih telco yang dapat memberi perkhidmatan terbaik.
“Misalnya jika saya guna telco A, namun capaian internet tidak memuaskan tetapi di kawasan sekitar terdapat telco B atau C yang lebih baik, jadi mereka boleh pilih dan ‘trace’ dengan sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi turun padang secara maya bersama Agensi CyberSecurity Malaysia (CSM) di sini hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, Program Pemerkasaan Keselamatan Siber (SiberKASA) berada di landasan tepat untuk melestarikan bidang keselamatan siber negara.
Beliau berkata, CSM telah mewujudkan 35 jenis perkhidmatan berkaitan keselamatan siber menerusi SiberKASA dan terkini fungsinya bagi memperkemaskan kelangsungan penawaran produk dan perkhidmatan kepada pengguna di pelbagai sektor, industri dan pengguna internet dalam usaha menyokong perkembangan keselamatan siber di Malaysia. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929