PETALING JAYA – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memperkenalkan ‘Kempen RM10’ sebagai usaha mengajak dan mendidik masyarakat Islam menunaikan zakat dengan jumlah serendah RM10.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, kempen tersebut adalah permulaan kepada mereka yang tidak pernah menunaikan zakat.
“Kesan daripada pandemik Covid-19, golongan yang sebelum ini adalah M40, malah T20 kini jatuh ke golongan B40 dan menjadi asnaf ‘segera’.
“Walaupun nilai RM10 itu tidak nampak banyak, inisiatif ini dilihat mampu membantu meningkatkan kutipan zakat bagi membantu golongan asnaf yang semakin meningkat,” jelasnya melalui satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kempen tersebut mampu menyediakan hidangan makanan buat mereka yang memerlukan terutama kepada yang memerlukan bantuan apabila terjejas pendapatan akibat dibuang kerja, dipotong gaji dan sebagainya sehingga melahirkan asnaf baharu.
Kempen selama enam bulan bermula Julai hingga Disember 2021 ini menyasarkan mereka yang berpendapatan atau gaji bersih serendah RM1,692 iaitu gaji minimum wajib bagi seseorang untuk menunaikan zakat.
“PPZ-MAIWP menyeru orang ramai khususnya yang tidak pernah menunaikan zakat untuk memulakan ibadah wajib ini dan merasai sendiri nikmatnya di mana Allah akan melipatgandakan rezeki mereka hingga 700 kali ganda,” katanya.
Kempen itu terbuka kepada semua pembayar baru yang menunaikan zakat secara dalam talian melalui zakat_10.zakat.com.my dan pembayar bertuah berpeluang memenangi hadiah menarik seperti Kamera Perakam Video dan Jam Pintar.
Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada [email protected] atau melalui Facebook Messenger di m.me/myzakat. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929