fbpx

Wujud perbezaan pada dua minit mesyuarat kehadiran Jho Low

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib dan Arul Kanda ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Saksi kelapan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa wujud perbezaan antara dua dokumen minit mesyuarat melibatkan Lembaga 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila tiada nama ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low dengan satu lagi minit mesyuarat yang dikemukakan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas Pengarah Pelaburan Terengganu Investment Authority (TIA), Kelvin Tan Kay Lin, 50, berkata, berbanding minit mesyuarat disediakan dan dihadiri beliau pada 26 September 2009, tercatat kehadiran beberapa ahli lembaga pengarah 1MDB dan Jho Low.

“Merujuk kepada dokumen ‘Minutes Of The Special Meeting Of The Board Of 1MDB’ dan saya mengesahkan tidak pernah melihat dokumen ini sehingga ditunjukkan oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa merakam percakapan saya.

“Saya sahkan isi kandungan dokumen sama seperti dokumen dirujuk sebelum ini. Namun begitu, saya sahkan terdapat sedikit perbezaan di mana ruangan ‘By Invitation’ (jemputan) apabila hanya terdapat satu penama yang wujud iaitu Casey Tang Keng Chee sedangkan pada mesyuarat terdapat seorang lagi individu hadir iaitu Low Taek Jho,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan bertulis pada perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (IMDB) membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Menurutnya lagi, beliau tiada pengetahuan bagaimana isi kandungan ini dipinda di mana nama ‘Low Taek Jho’ telah tiada pada muka surat 1 dokumen tersebut namun mengesahkan bahawa penama Low Taek Jho ada hadir dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 26 September 2009.

Dalam pada itu, saksi itu turut memberitahu,sepanjang pengetahuannya Jho Low tidak mempunyai sebarang peranan atau jawatan di dalam 1MDB yang membolehkannya hadir pada mesyuarat berkenaan.

“Kesemua ahli mesyuarat maklum berkenaan hal tersebut dan tidak ada seorang yang mempertikaikan berkenaan hal tersebut,” katanya.

Perbicaraan bersambung lagi pada 9 September ini. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI