fbpx

Sorok syabu, pil kuda RM10.9 juta dalam semak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shafien (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas di kawasan semak di Kampung Kuala Jambu, Tumpat kelmarin. FOTO ZULHANIFA SIDEK

TUMPAT – Polis menahan seorang lelaki selain merampas dadah jenis syabu dan pil kuda bernilai lebih RM10.9 juta yang ditinggalkan di dalam kawasan semak di Kampung Kuala Jambu di sini kelmarin.

Rampasan itu dilakukan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Tumpat selepas menahan suspek yang berusia 32 tahun di Jalan Kampung Bendang Pak Yong kira-kira pukul 10.05 pagi pada hari yang sama.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, polis telah menjalankan pemantauan terhadap suspek sebelum menjalankan operasi untuk menahannya ketika sedang memandu sebuah kereta jenis Honda Jazz di kawasan berkenaan.

Ujarnya, menyedari diekori polis, suspek cuba melarikan diri dengan memecut laju kereta dipandunya sebelum ditahan tidak jauh dari kawasan Kampung Bendang Pak Yong.

Katanya, pemeriksaan terhadap lelaki itu telah menemui 0.1 gram dadah jenis heroin dan dua liter air ketum sebelum suspek di bawa ke IPD Tumpat untuk siasatan lanjut.

“Sewaktu disiasat, suspek yang mengaku berperanan sebagai ‘transporter’ memaklumkan bahawa ada menyimpan dadah jenis syabu dan pil kuda di Kampung Kuala Jambu. Berpandukan petunjuk daripada lelaki itu, polis telah menyerbu kawasan semak di kampung berkenaan kira-kira pukul 2 petang.

“Pemeriksaan di lokasi itu telah membawa kepada penemuan 80 kilogram dadah jenis syabu dan pil kuda sebanyak 804,000 biji di dalam bungkusan plastik hitam yang bernilai lebih RM10.9 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini hari ini.

Menurut Shafien, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI