GEORGE TOWN – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan sepasang warga asing bersama sejumlah dadah sintetik jenis syabu seberat hampir 19 kilogram (kg) bernilai lebih RM671,000 dalam dua serbuan di negeri ini Ahad lalu.
Suspek lelaki warga Myanmar berusia 56 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 10 malam di sebuah rumah teres di Bukit Tengah, Bukit Mertajam dekat sini.
Manakala wanita warga Vietnam berusia 31 tahun ditahan kira-kira pukul 10.50 malam di sebuah kondominium di Gelugor di sini.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, kedua-dua suspek disyaki ahli sindiket selepas pihaknya menemui sejumlah dadah bernilai RM671,096 dan peralatan memproses dadah di kedua-dua lokasi serbuan.
“Dalam serbuan di Bukit Mertajam, 18.58 kg disyaki syabu bernilai RM668,772 dirampas bersama 12 gram (g) pil erimin 5 (RM690), 50 butir peluru jenis A USA 9 MM Luger, 56 liter cecari kimia dan peralatan proses dadah.
“Seterusnya, serbuan di kondominium yang disewa pada harga RM1,200 sebulan itu, 45.5 g syabu bernilai RM1,634 dirampas bersama suspek wanita,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Menurut Fisol lagi, kedua-dua suspek dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah di negeri ini sejak Ogos tahun lalu dengan memperoleh bekalan dari kawasan Lembah Klang.
“Susulan penangkapan dua warga asing berkenaan, polis turut menahan sepuluh lagi suspek di Lembah Klang iaitu tujuh lelaki dan tiga perempuan berusia 27 hingga 65 tahun.
“Mereka terdiri seorang ketua, tujuh ahli sindiket dan dua pembekal dadah di Lembah Klang,” katanya.
Menurut Fisol, suspek lelaki yang positif syabu dan wanita yang didapati negatif dalam ujian saringan air kencing itu direman selama seminggu sehingga Ahad ini bagi siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3), Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929