fbpx

Sidang DUN Johor tangguh, bersambung semula 22 Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Persidangan DUN Johor ditangguhkan dan akan disambung semula pada 22 Ogos depan.

ISKANDAR PUTERI – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang sepatutnya bermula hari ini sehingga 22 Ogos ditangguhkan seketika minggu depan bagi membolehkan penilaian risiko wabak Covid-19 dilakukan.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berkata, mengikut jadual, sidang yang disambung pada Ahad ini tidak akan dilaksanakan bagi memberi ruang kepada pengurusan Dewan Negeri untuk meningkatkan tahap keselamatan dan pengurusan prosedur operasi standard (SOP).

“Sebagaimana yang telah dinasihatkan oleh Sultan Johor di atas penilaian risiko yang dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bagi mengekang wabak Covid-19, maka di bawah Peraturan Tetap Bilangan 7(3) Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap bagi Dewan Negeri Johor.

“Saya tangguhkan mesyuarat ini sehingga hari Ahad, 22 Ogos 2021, pukul 9.30 pagi,” katanya ketika berucap selepas titah Pembukaan Persidangan Penggal Keempat oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di sini hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim menyuarakan kebimbangan baginda melihat keadaan semasa, tambahan pula dengan adanya varian baharu Covid-19 yang lebih mudah berjangkit dan merebak sehingga meragut nyawa pesakit.

Baginda bertitah, persidangan Dewan kali ini hendaklah dibuat dengan berhati-hati dan memastikan semua yang hadir mengikut SOP yang ditetapkan.

Sultan Ibrahim juga meminta penilaian risiko kesihatan dibuat setiap hari dan sekiranya terdapat ancaman risiko yang tinggi, baginda meminta Speaker untuk menangguhkan sidang Dewan kali ini.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, penangguhan itu dibuat kerana perlunya pematuhan SOP dipertingkat bagi mengelakkan situasi di Parlimen berlaku pada sidang DUN Johor kali ini.

“Kerajaan negeri tidak mahu perkara sama yang berlaku di Parlimen terjadi pada sidang DUN, baru separuh jalan sudah ditangguhkan kerana terdapat kes jangkitan Covid-19.

“Speaker sedang memperhalusi SOP yang ditetapkan melibatkan tempoh berapa hari bersidang dan berapa lama sesi persidangan akan diadakan,”katanya.

Tambah Hasni, bagi memastikan keselamatan 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kerajaan negeri akan membentuk gelembung pergerakan dengan memastikan kesemua mereka berada di lokasi yang selamat. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI