PUTRAJAYA – Umat Islam di negara ini dituntut agar menyuburkan dan mengekalkan semangat patriotisme dalam mempertahankan maruah negara sejajar dengan falsafah Maqasid Syariah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, adalah menjadi kewajipan rakyat teguh memelihara kedaulatan negara ini daripada segala bentuk ancaman sama ada dari dalaman atau luaran, apatah lagi dalam dunia globalisasi dan ledakan era teknologi maklumat.
“Berdasarkan pemerhatian saya, semangat ini merupakan asas utama kepada kemerdekaan malah secara ringkas, nilai ini boleh difahami sebagai semangat cintai tanah air.
“Percayalah, agama Islam sebenarnya menggariskan secara jelas mengenai patriotisme khasnya berkait kepentingan mempertahankan keselamatan dan maruah negara,” katanya ketika berucap melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri secara maya hari ini.
Pelbagai program turut diatur sempena sambutan bulan itu antaranya Forum Perdana dan Munajat Merdeka di TV1, bacaan Yasin, doa selamat, pertandingan, siri diskusi serta ceramah. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929