PETALING JAYA – Ibu kepada naib juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Ebi Kornelis iaitu Reni Bakar, 81, dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, Sabah, pada Selasa lalu.
Perkara itu disahkan sendiri Ebi yang juga kini dirawat di Hospital Tuaran, Kota Kinabalu akibat Covid-19 menerusi satu kenyataan yang dipetik dalam sebuah laporan media tempatan.
Dalam laman Facebook penyanyi itu turut dibanjiri ucapan takziah daripada kenalan yang mendoakan supaya Ebi tabah dan kuat menghadapi dugaan kehilangan orang yang tersayang.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik penyanyi itu pada 8 Ogos lalu, dia ada berkongsi doa supaya diri serta bapanya diberi kesembuhan akibat dijangkiti Covid-19.
“Ya Allah Ya Tuhan ku, Tuhan yang Maha Besar memiliki segala isi bumi dan langit. Saya dan keluarga sekarang sedang diuji dengan Covid-19. Mohon doakan kesembuhan saya dan keluarga, bapa dan mama.
“Ampunkanlah dosa-dosa dan kesalahanku sama kamu semua sama ada zahir atau batin. Aku terima ujian Allah. Tiada Tuhan selain Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah,” katanya.
Menerusi hantaran sama, Ebi meletakkan tanda pagar #Covid19 dan #covidbukanmainan.
Difahamkan, bapanya, Yaimal Muhammad, 74, yang turut dijangkiti wabak maut tersebut masih menjalani rawatan di HQE
Penyanyi berusia 37 tahun itu sebelum ini ada menyuarakan kebimbangannya mengenai keadaan ibunya yang berseorangan di rumah selepas dia dan bapanya terpaksa dibawa ke pusat kuarantin kampus Intan.
Bapanya pula dari pusat kuarantin diarah ke HQE kerana kekurangan oksigen. Ebi kemudian dipindahkan dari pusat kuarantin ke Hospital Tuaran kerana mengalami sesak nafas berpanjangan. – K! ONLINE