PETALING JAYA – Sedih melihat perbalahan sesama insan yang berbangga dengan perbuatan mereka memaki hamun secara terbuka membuatkan pelakon, Erra Fazira menzahirkan harapan supaya semua orang bermuhasabah diri.
Katanya, dia bimbang andai sikap kurang ajar dan enggan bertoleransi itu dibiarkan, nilai kemanusiaan bakal hilang sekali gus membuatkan ketegangan serta sikap biadap semakin sebati dalam kehidupan.
“Satu dunia berhadapan masalah sama! Satu dunia! Ini menyedihkan tetapi pastinya Allah Maha Mengetahui. Adakah masanya untuk kita berbalah dan saling menunding atau mungkin ini masanya kita muhasabah diri dan kembali memahami asbab kita dipinjamkan Allah di sini.
“Kita semua pinjaman tetapi kita sering lupa dan berkelakuan seolah-olah kita akan hidup 1,000 tahun lagi. Sedih melihat sesama kita sering berbalah, memaki hamun tanpa segan silu malah bangga memaparkannya.
“Kita sudah semakin hilang adab dan malu. Andai orang lain dengan sikap tiada adabnya, janganlah kita menyahut dan meletakkan diri kita sama seperti mereka yang tidak beradab.
“Cubalah tangani dan sahutlah dengan cara yang paling berhemah. Saya risau andai keadaan sebegini semakin sebati dengan kita semua,” katanya menerusi perkongsian di laman sosial.
Hantaran itu turut disertakan video seorang doktor di New York yang berkongsi perasaan dan pengalaman terpaksa berdepan kematian pesakit setiap hari akibat Covid-19.
Aktres dan penyanyi yang terkenal dengan sikap lemah lembut itu memaklumkan ia hanya luahan peribadi, bukan meminta orang lain supaya menyetujui pandangannya.
Malah pada masa sama, pemilik nama sebenar Fazira Wan Check, 47, itu turut terkilan dengan pelbagai alasan diberikan individu atau pihak terbabit yang dilihat sekadar mahu ‘menghalalkan’ pertelingkahan terbuka itu.
“Haiwan semakin menjadi makhluk penyayang tetapi kita manusia ramai pula yg bercakaran dan menikam sesama sendiri.
“Apabila ditanya, pasti ada 1001 sebab dan alasan namun cubalah pilih adab utk menanganinya. Saya tak bercakap tentang perang jihad perang. Ini konteks lain.
“Ini sekadar pandangan saya. Jika tidak bersetuju tak mengapa, saya pun banyak kekurangan namun saya tetap mendoakan kita semua hidup dalam kasih sayang dan saling menghormati,” tambah ibu kepada Engku Aleesya Emran itu lagi.
Tidak melupakan jasa petugas barisan hadapan, Erra menerusi perkongsian sama mengakui cukup menghargai pengorbanan mereka terhadap pertiwi.
“Frontliner, walau di mana kalian berada waima apa bahagian tugas kalian sekalipun, terima kasih atas pengorbanan yg tidak ternilai. Moga Allah membalas kebaikan kalian dgn rahmat dan kasih sayangNya.
Teman sekalian, jaga diri, keluarga dan orang yang tersayang. Semoga kita semua dalam lindungan dan rahmat Allah dan menjadi manusia lebih baik daripada sebelum ini,” kata bintang hingga Hujung Nyawa itu. – K! ONLINE