PETALING JAYA – Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang dilihat tidak adil kepada Pulau Labuan bakal memberi kesan ketara kepada sektor ekonomi khususnya berkaitan syarikat perkapalan.
Kebimbangan terhadap prospek ekonomi Labuan itu telah disuarakan oleh Gabungan Sektor Ekonomi Labuan yang baharu ditubuhkan dan ia disertai oleh pelbagai persatuan dan perusahaan.
Antaranya adalah Labuan Freight Forwarder Association, Sabah Shipping Agent Association, Malaysia Offshore Support Vessels Owners Association (MOSVA), Malaysia Shipowners’ Association, Petronas, Labuan Shipyard & Engineering dan Megah Port Management & Asian Supply Base.
Ketidakadilan daripada pelaksanaan SOP baharu itu dilihat memberi kesan kepada semua pihak kerana Labuan adalah antara negeri pertama di Malaysia yang mencatat vaksinasi lengkap sebanyak 80 peratus dalam kalangan penduduk dan telah mencapai imuniti berkelompok.
Ketua fasilitator gabungan tersebut, TS Daniel Doughty berkata, Labuan berdepan dengan masalah dalam isu import dan eksport sejak 16 Julai lalu apabila kapal tempatan dan asing yang singgah di pulau tersebut perlu menjalani kuarantin selama 14 hingga 21 hari.
Menurutnya, disebabkan isu tersebut, pedagang kapal tidak menunjukkan minat untuk berlabuh di Labuan bagi mengelak daripada dikenakan bayaran tambahan sepanjang mereka menjalani tempoh kuarantin.
“SOP baharu itu juga telah memberi kesan kepada keselamatan rangkaian bekalan lebih daripada tiga minggu. Sehubungan itu, bekalan peralatan mesin serta kelengkapan termasuk pengeluaran minyak dan gas turut terjejas.
“Sekali gus limbungan kapal terbeban dengan kerugian ekoran kontrak serta bayaran penalti yang tertunda,” katanya dalam kenyataan.