PETALING JAYA – Pengeluar produk tembaga terkemuka, Ta Win Holdings Bhd. (Ta Win) menerusi anak syarikatnya, Cyprium Wire Technology Sdn. Bhd. (CWT) mengumumkan penerimaan kontrak daripada syarikat mobiliti dan teknologi global, ApTiv PLC yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Pengarah Urusan Kumpulan Ta Win, Datuk Seri Ngu Tieng Ung berkata, kontrak tersebut adalah untuk pembekalan kabel
dan komponen automotif bagi model kenderaan tempatan di Malaysia.
Menerusi kontrak berkenaan, CWT akan membekalkan 13 jenis komponen Aptiv yang terdiri daripada sistem pembekalan kuasa dan isyarat, kabel bertekanan tinggi, kabel bateri dan komponen lain untuk tempoh enam bulan bermula 1 Julai dengan anggaran kuantiti sehingga 10,000 kilometer sebulan.
“Sehubungan lantikan sebagai vendor global oleh Aptiv USA tahun ini, kami berbesar hati untuk mengambil kontrak ini kerana ia mencerminkan kebolehan CWT dalam mengaplikasikan teknologinya yang telah dipatenkan dalam bidang pembuatan alat ganti kenderaan.
“Dengan kontrak ini, Ta Win memasuki kawasan pertumbuhan baharu, terutamanya untuk produk yang relevan dengan pasaran bagi memenuhi pertumbuhan industri automotif.
“Kami optimis CWT akan terus mendapat kontrak tambahan daripada Aptiv untuk produk yang direka bentuk bagi memenuhi keperluan kenderaan yang berbeza-beza.
“Kami yakin peluang ini akan menyumbang secara positif terhadap perolehan Kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan.