KUANTAN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan yang hilang di perairan Gebeng, di sini bermula Ahad lalu ditamatkan petang tadi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, operasi SAR hari ini bermula pukul 7 pagi dan berakhir pada pukul 7 petang.
“Mangsa masih belum ditemui namun operasi ditamatkan hasil penilaian terhadap situasi semasa pencarian dan persetujuan bersama kesemua agensi terlibat serta ahli keluarga.
“Bagaimanapun APMM dan agensi lain yang melaksanakan rondaan rutin di lapangan serta komuniti nelayan berhampiran akan meneruskan pemantauan dan memaklumkan sekiranya terdapat tanda-tanda penemuan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu pada Ahad lalu, seorang nelayan dikenali sebagai Ishak Muda, 57, dilaporkan hilang dipercayai terjatuh ke laut ketika keluar menangkap ikan dengan bot pukat jerut di perairan Gebeng, di sini.
Kehilangan mangsa hanya disedari tekong selepas bot nelayan terbabit tiba di jeti Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kemunting di sini, sebelum kejadian itu dilaporkan kepada pihak berkuasa. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929