PETALING JAYA – “Hormatilah perkuburan. Kubur bukan tempat mencipta sensasi dan populariti.”
Demikian teguran pengacara dan penyampai radio Ahmad Fedtri Yahya susulan kontroversi melibatkan seorang YouTuber yang memuat naik video melawat tempat pengebumian penyanyi Siti Sarah Raissuddin sebagai kandungan dalam laman YouTubenya semalam.
Kata Fedtri, sebagai umat Islam, kita hendaklah mematuhi dan menjaga adab-adab ketika menziarahi kubur.
Terdapat enam adab yang perlu dititikberatkan ketika melawat tanah perkuburan antaranya disunatkan berwuduk, memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat.
“Kedua, apabila sampai ke tanah perkuburan, disunatkan memberi salam kepada ahli atau penghuni kubur dengan iringan doa.
“Ketiga, tidak berbual dengan percakapan kosong yang tidak berfaedah semasa berada di tanah perkuburan,” katanya.
Tambah Fedtri yang juga merupakan penulis lirik, perkara keempat yang perlu dilakukan ketika menziarah kubur adalah diharamkan melakukan perkara khurafat yang menjejaskan akidah.
“Contohnya seperti mencium kubur mengusap-usap tanah dengan harapan semoga memperolehi berkat dan sebagainya.
“Kelima, sunat duduk menghadap ke arah mukanya serta membaca ayat suci al-Quran seperti membaca surah al-Ikhlas atau surah Yasin serta menghadiahkan pahala kepada ahli kubur tersebut.
“Sementara yang terakhir, sunat menghadap kiblat ketika berdoa semoga Allah mengampuni dosa dan melimpahkan rahmat ke atas roh ahli kubur,” jelasnya.
Perkongsian Fedtri mendapat maklum balas daripada pengikutnya yang berterima kasih atas perkongsian dan peringatan indah sebegitu.
Semalam, tular dalam media sosial tindakan seorang YouTuber dikenali sebagar Aisar Khaled yang dikecam kerana menjadikan kematian dan lokasi pengebumian Siti Sarah sebagai kandungan untuk saluran YouTube miliknya.
Selepas beberapa jam video tersebut dikecam netizen, YouTuber berkenaan tampil membuat permohonan maaf menerusi media sosial atas tindakannya yang tidak menjaga sensitiviti keluarga Allahyarham.
Tinjauan terkini bagaimanapun mendapati, video berkenaan sudah pun dipadamkan daripada saluran YouTubenya. – K! ONLINE