JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan agar solat fardu Jumaat di masjid dan surau seluruh negeri ini dibuat dengan mengambil kira satu perempat kapasiti premis berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, peraturan itu dibuat bagi menghidupkan syiar Islam di negeri ini.
Menurut kenyataan itu, solat fardu di masjid dan surau Jumaat tidak boleh melebihi 50 jemaah manakala bagi surau kariah pula tidak melebihi 20 jemaah.
“Kehadiran bagi ahli jawatankuasa masjid dan surau serta jemaah adalah bagi mereka yang telah lengkap dua dos vaksin kecuali bagi Imam, Bilal dan Noja yang bertugas sahaja.
“Sekiranya masih terdapat kekurangan jemaah bagi solat Jumaat atau solat fardu, maka dibenarkan kemasukan bagi jemaah yang sudah menerima satu dos suntikan vaksin,” jelas kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu, bagi individu lelaki yang masih belum menerima suntikan vaksin hendaklah menunaikan solat fardu Zohor pada waktu solat Jumaat serta solat fardu lima waktu di kediaman masing-masing.
“Mereka juga tidak dibenarkan berada di tempat awam pada waktu solat Jumaat kerana dibimbangi akan menimbulkan fitnah.
“Perkara tersebut akan turut mendapat perhatian daripada pihak berkuasa mengikut bidang kuasa masing-masing,” ujar kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu, aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti membudayakan al-Quran, bacaan surah yasin dan tahlil hanya dibenarkan seramai 50 individu bagi masjid manakala 20 bagi surau.
“Sementara itu, kelas takmir, kelas al-Quran, kuliah umum dan khas masih ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
“Aktiviti di tanah perkuburan dibenarkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan manakala bagi urusan pengkebumian jenazah bukan pesakit Covid-19 dibenarkan dengan had 50 orang sahaja tidak termasuk petugas tanah perkuburan,” tambah kenyataan tersebut.
Kenyataan bersama itu turut ditandatangani Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Md. Rofiki Samsudin dan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929