SEPANG – Taktik dua buah premis pemborong minyak masak berlesen di Puchong dekat sini yang menyeleweng minyak masak bersubsidi peket 1 kilogram (kg) dengan memindahkannya ke dalam pek botol 2kg dan 5kg untuk dijual pada harga lebih tinggi, terbongkar dalam serbuan yang dijalankan semalam.
Operasi dijalankan pada pukul 1 tengah hari oleh sepasukan penguat kuasa Taktikal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Shah Alam dan Sepang hasil risikan yang dilakukan sejak sebulan lalu.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, daripada serbuan itu, pihaknya berjaya menyelamatkan kira-kira 18,000kg minyak masak dengan hampir separuh atau 8,775 kg adalah minyak bersubsidi peket 1kg.
Beliau berkata, sindiket dikesan memotong peket 1kg untuk memindahkannya ke dalam sebuah skid tank di dalam premis tersebut sebelum diproses semula dalam pek pembotolan (tidak bersubsidi) bertujuan mengaut keuntungan melalui penjualan minyak botol yang berharga lebih tinggi.
“Modus operandi sindiket ini adalah menghantar minyak masak bersubsidi peket 1kg ke lokasi yang telah diserbu untuk dipek semula dalam bentuk botol 2kg dan 5kg berdasarkan penemuan botol-botol minyak itu di lokasi sama.
“Berdasarkan dokumen yang dijumpai, minyak masak bersubsidi itu sepatutnya diedar kepada pemborong dan peruncit berlesen di sekitar Lembah Klang, namun diseleweng dengan dibawa ke lokasi sasaran bagi dipek dalam bentuk botol sebelum diedar ke pasaran dalam negara selain dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, empat warga tempatan berbangsa India dan seorang warga asing disyaki warga Indonesia berusia 30 hingga 50 tahun, yang dikenal pasti sebagai pemilik premis, ditahan bagi membantu siasatan. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929