GEORGE TOWN – Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pulau Pinang masih mencukupi meskipun terdapat peningkatan kes jangkitan Covid-19 dalam tempoh tiga minggu lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Asmayani Khalib berkata, setakat ini sebuah PKRC iaitu di Pusat Kecemerlangan Mara (MEC) di Nibong Tebal beroperasi sepenuhnya dengan 1,008 katil manakala sebuah lagi PKRC di Pusat Latihan Zakat (Pulaza) di Balik Pulau yang mempunyai lebih 100 bilik diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.
“Kita sentiasa memantau situasi terkini jangkitan Covid-19 di Pulau Pinang dan kita dapati terdapat peningkatan kes dalam tempoh tiga minggu lalu.
“Setakat ini, PKRC sedia ada mencukupi untuk menampung keperluan dan rawatan pesakit Covid-19 yang berada dalam kategori satu dan dua,” katanya ketika ditemui di Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) di Jalan Residensi di sini hari ini.
Terdahulu, Asmayani mewakili JKNPP menerima sumbangan peralatan perubatan dan elektrik bernilai RM27,000 daripada Jambatan Kedua Sdn. Bhd (JKSB) yang diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Faisal Shahbudin.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929