Oleh NORADILA MAHAMAD
KUALA TERENGGANU – Syarikat pengeluar telefon pintar, Oppo Malaysia melancarkan pusat jualan dan servis yang pertama di negeri ini dan Pantai Timur di pusat membeli-belah, KTCC Mall di sini.
Pengarah Runcit Oppo Malaysia, Dany Ding berkata, pusat jualan dan servis tersebut merupakan yang kelima beroperasi di negara ini.
“Pelanggan boleh merasai pengalaman mencuba variasi model telefon pintar jenama Oppo termasuk Reno 4 yang baru dilancarkan awal bulan ini di pusat jualan dan servis ini.
“Kerosakan telefon pintar juga boleh dibaiki di pusat jualan dan servis tersebut dalam tempoh seawal sejam sahaja,” katanya di sini hari ini.
Pusat Jualan dan Servis Oppo Terengganu tersebut dilancar oleh Ketua Pegawai Eksekutif Oppo Malaysia, Garry Gong.
Dany memberitahu, syarikatnya juga akan membuka cawangan keenam pusat jualan dan servis di IOI Mall, Putrajaya pada minggu depan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, model Reno 4 telah berjaya dijual hampir 2,000 unit dalam tempoh dua minggu pelancarannya.
“Permintaan terhadap telefon pintar jenama Oppo tidak terjejas walaupun ketika pandemik Covid-19 pada waktu ini.
“Telefon pintar Oppo masih mendapat permintaan tinggi terutama dalam kalangan generasi muda kerana kelebihannya menghasilkan foto swa foto yang berkualiti tinggi,” katanya. – K! ONLINE