fbpx

Ramai kongsi pengalaman ‘ditidurkan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Ramai pengguna media sosial tampil berkongsi pengalaman sendiri atau ahli keluarga yang terpaksa ditidurkan semasa menerima rawatan di hospital susulan dakwaan yang mengatakan proses tersebut pasti akan berakhir dengan kematian.

Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, pengalaman tersebut dikongsi di ruang komen beberapa hantaran mengenai kematian individu yang ditidurkan kerana jangkitan Covid-19, terutama sekali pada hantaran berkenaan pemergian penyanyi, Siti Sarah Raisuddin.

“Saya bekas pesakit Covid-19 tahap lima, ditahan wad pada 31 Mei. Hampir dua minggu suami bagitahu baru saya sedar semula. 15 Julai saya keluar dari hospital selepas dua minggu ditempatkan di wad biasa dan kesihatan semakin pulih,” kata Norasheeqin Shamsuddin.

“Saya sendiri bekas pesakit Covid-19 yang ditidurkan selama lima hari. Alhamdulillah semalam doktor beritahui bintik-bintik di paru-paru sudah hilang,” kata Lurve Ja.

“Saya pernah ditidurkan kerana komplikasi ketika melahirkan anak pada tahun 2020. Setelah tiga hari ditidurkan, Alhamdulillah Allah masih panjangkan umur untuk melihat anak saya membesar,” kongsi Suharni Siratang.

“Sepupu saya berumur 29 tahun, kategori empat Covid-19 ditidurkan. Alhamdulillah kembali sedar cuma daripada normal boleh berjalan, dia tak boleh jalan sekarang. Pakai lampin, sedang fisio di hospital. Kadang-kadang bernafas tercungap-cungap, jadi kena ada tong oksigen dan doktor beritahui paru-paru beliau rosak kekal 75 peratus,” kata Annur Nida.

“Saya sedang tunggu kebenaran pesakit saya yang merupakan bekas pesakit Covid-19 kategori lima. Baru sahaja jumpa beliau dua hari lepas, semoga ceritanya nanti menjadi pembakar semangat untuk pesakit Covid-19 dan petugas barisan hadapan,” kata Halimatussaadiah.

Semalam, Kosmo! Online melaporkan beberapa doktor tampil menjawab tuduhan seorang pengguna media sosial yang menyifatkan pesakit Covid-19 ditidurkan sebagai perbuatan membunuh.

Menurut Pegawai Perubatan Kanan Kementerian Pertahanan, Leftenan Kol. Dr. Rusyainie Ramli berkata, pesakit Covid-19 terpaksa ditidurkan kerana paru-paru mereka sudah tidak mampu berfungsi dengan sendiri. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI