SKUAD hoki negara boleh mengambil inspirasi terhadap pencapaian musuh tradisi, India yang meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan menewaskan Jerman 5-4 pada penentuan tempat ketiga dan keempat baru-baru ini.
Ia menyaksikan India yang kini melonjak ke tangga ketiga dunia, akhirnya berjaya menamatkan penantian untuk meraih pingat Olimpik dalam acara hoki sejak 1980.
Pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi merasakan, Malaysian Tigers sebenarnya boleh melihatnya sebagai sumber inspirasi dan pembakar semangat untuk melayakkan diri ke Paris, Perancis pada 2024.
“Satu inspirasi apabila kita melihat India menang gangsa selepas 41 tahun. India juga telah tunjukkan kepada kita bahawa tiada yang mustahil untuk dicapai.
“Sudah tentu kita juga ingin melihat sukan hoki kita menempa kejayaan sama. Pertamanya layak ke Olimpik di Paris terlebih dahulu dan kemudian kita cuba buat yang terbaik.
“Kalau ikutkan, kita pernah tewaskan India pada Sukan Asia 2018 dan sebelum itu pada kelayakan Piala Dunia 2018 di London.
“Kita boleh mengambil kejayaan dan semangat India untuk kita terus mempertingkatkan prestasi kita,” katanya.
Legenda hoki negara itu turut berpendapat Malaysia mampu menjadi hebat seperti pemenang pingat emas Tokyo 2020, Belgium yang dahulunya sebuah pasukan sederhana tetapi kini berstatus antara terhebat di dunia.
“Belgium adalah contoh kisah kejayaan hoki. Belgium berjaya mentranformasikan pasukan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini dan hasilnya berjaya menjuarai segala pertandingan antarabangsa peringkat tertinggi,” jelasnya.