PETALING JAYA – Pelakon dan pesohor media sosial, Aisar Khaled tampil memohon maaf atas tindakannya yang dianggap tidak menjaga sensitiviti keluarga Allahyarham Siti Sarah Raisuddin yang meninggal dunia semalam.
Permohonan maaf itu dibuat susulan sebuah video memaparkan dirinya sedang melawat pusara Siti Sarah di Gombak yang dimuat naik di laman YouTube miliknya mendapat kecaman dari orang ramai.
“Assalamualaikum semua. Saya telah padam video tersebut. Saya mintak maaf sangat-sangat kepada keluarga arwah dan juga tidak berfikiran jauh sebelum memuat naik video tersebut.
“Won’t repeat it again (Tidak akan ulangi lagi). Minta maaf ya semua. Minta maaf lagi sekali saya sedar kesilapan saya,” ciapnya di laman Twitter.
Permohonan maaf itu juga dibuat menerusi laman Instagramnya sebelum dia bertindak mengubah tetapan laman Instagram tersebut kepada mod peribadi.
Bagaimanapun, rata-rata pengguna media sosial masih tidak berpuas hati kerana dikatakan video tersebut bukanlah dipadam, tetapi cuma diletakkan di dalam mod peribadi.
Tindakan tersebut juga didakwa dibuat kerana video tersebut sudahpun mendapat lebih 100,000 tontonan.
Sehingga kini, Aisar Khaled atau nama sebenarnya Aisar Khaled Kamel, 21, masih mendiamkan diri dan tidak memuatnaik sebarang kenyataan di media sosial miliknya.
Usaha Kosmo! untuk mendapatkan komen daripada Aisar juga tidak berjaya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929