fbpx

Lukaku pulang lagi ke Stamford Bridge

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LUKAKU akan menjalani ujian perubatan di Milan sebelum melengkapkan perpindahan ke Chelsea. – TWITTER ROMELU LUKAKU

LONDON – Penggempur Inter Milan, Romelu Lukaku dilaporkan akan menjalani ujian perubatan selepas juara Serie A musim lalu itu bersetuju untuk melepaskan khidmatnya dengan nilai £97.5 juta (RM571.33 juta) kepada Chelsea.

Ujian berkenaan akan dilakukan di Milan dan pemain antarabangsa Belgium itu dilaporkan akan menandatangani kontrak selama lima tahun sebaik urusan berkenaan selesai.

Sumber memberitahu, kontrak itu nanti akan menyaksikan Lukaku menerima pendapatan mingguan sebanyak £350,000 (RM2.05 juta) atau pendapatan bersih sekitar £200,000 (RM1.17 juta) seminggu selepas ditolak cukai.

Lukaku menyertai Chelsea pada 2011 dari Anderlecht, namun hanya mampu membuat 15 penampilan sebelum menyertai Everton pada 2014 dan berjaya menjaringkan 87 gol dalam 166 penampilan.

Karier Lukaku bersambung di Manchester United bermula pada 2017 dengan melakukan 96 penampilan serta meledak 42 gol sepanjang berada di Old Trafford sebelum berkelana ke Inter pada 2019.

Dia meledak 24 gol musim lalu di San Siro sekali gus berjaya membantu Inter menamatkan penantian 11 tahun kemarau de­ngan menjulang gelaran Serie A mengatasi Juventus.

Perpindahan kembali ke Stamford Bridge menyaksikan Lukaku mengatasi Neymar apabila menjadi pemain yang memiliki jumlah bayaran perpindahan tertinggi sepanjang karier iaitu sebanyak £291 juta (RM1.705 bi­lion).

Chelsea sahaja terpaksa mengeluarkan wang sebanyak £115 juta (RM674.35 juta) untuk mendapatkan Lukaku termasuk ketika membelinya dari Anderlecht dengan harga £17 juta (RM99.69 juta) ketika dia berusia 18 tahun.

Bagaimanapun, keputusan yang dibuat Lukaku tidak disenangi penyokong Inter apabila mereka menganggap pemain itu adalah seorang yang gilakan wang.

“Kepada Lukaku, kami mengharapkan kejujuran dan ketelusan sikap. Kami menganggap kamu sebahagian daripada kami tetapi nyata kamu sama seperti dengan yang lain, tunduk kepada wang biarpun kelab ini yang mengangkat semula reputasi kamu yang rosak sebelum ini,” kata seorang peminat Inter di laman sosial Facebook. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI