WASHINGTON – Satu kajian baharu menunjukkan penyebaran virus Covid-19 dari seorang ibu kepada bayi ketika kehamilan dan kelahiran adalah sangat jarang berlaku, lapor portal United Press International (UPI), kelmarin.
Laporan yang diterbitkan oleh JAMA Network Open itu, menerusi kajian di Ontario Kanada, menyatakan hanya empat peratus bayi yang disaring positif Covid-19 sebaik dilahirkan sekiranya ibu dijangkiti virus itu dalam tempoh dua bulan sebelum bersalin.
Hasil kajian menunjukkan bahawa saranan agar ibu yang dijangkiti Covid-19 agar tidak dipisahkan daripada bayi mereka selepas bersalin adalah selamat,” kata penulis bersama kajian, Tiffany Fitzpatrick.
“Protokol kesihatan seperti kerap mencuci tangan dan memakai pelitup muka sudah memadai mengekang penularan antara ibu dan bayi baru lahir.
“Malah pemberian susu badan secara langsung dengan memakai perlindungan sesuai adalah selamat dan menunjukkan risiko penularan yang rendah,” kata Fitzpatrick.
Wanita dan bayi baru lahir yang dijangkiti Covid-19 dilaporkan berisiko tinggi mengalami komplikasi kesihatan serius semasa dan selepas kelahiran.
Namun begitu, dalam kalangan wanita hamil yang dijangkiti di Amerika Syarikat (AS), penularan virus maut itu kepada bayi sangat jarang berlaku.
Bagi kajian ini, Fitzpatrick dan rakan sejawatannya telah menggunakan hasil ujian Covid-19 buat hampir 97,000 bayi yang dilahirkan di Ontario antara 1 Februari dan 31 Oktober tahun lalu.
“Kajian ini dilakukan ketika gelombang pertama wabak Covid-19, ketika penularan dalam kalangan penduduk Kanada cukup rendah,” katanya. – Agensi