PETALING JAYA – Pelawak terkenal, Mazlan atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet bakal mendapatkan nasihat daripada peguamnya sebelum mengambil tindakan undang-undang selepas dikaitkan individu yang dikatakan pelawak yang tular menerusi sebuah rakaman video menunjukkan dia sedang berurusan dengan seseorang dalam keadaan mencurigakan.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Mazlan atau nama lengkapnya Mazlan Ahmad, 52, berkata dia mengambil serius tentang perkara tersebut kerana telah mendatangkan fitnah serta mengaibkan namanya.
“Memandangkan hantaran (video tersebut) yang berunsur fitnah dan telah mengaibkan nama saya, jadi saya akan mendapatkan khidmat nasihat daripada peguam untuk tindakan selanjutnya,” tulis Mazlan.
Dalam pada itu, anggota daripada kumpulan pelawak terkenal, Senario itu juga akan memberikan keterangan berhubung penularan video tersebut bersama pihak media tidak lama lagi.
“Saya akan jemput rakan media untuk memberi penjelasan lanjut mengenai video yang tular itu,” ujarnya ringkas.
Sebelum ini, tular dalam Twitter sebuah video yang memaparkan seorang individu seperti sedang menjalankan urusan jual beli dalam keadaan mencurigakan.
Menerusi rakaman video tersebut, individu tersebut yang didakwa seorang pelawak daripada sebuah kumpulan terkenal itu juga dilihat mengamuk apabila menyedari perbuatannya itu sedang dirakam.
Dia dilihat keluar dari kenderaan yang dipandunya dan terus meluru ke arah perakam dan seperti berlaku pertelingkahan.
“Woi! Hang rakam apa?,” jerkah pelawak tersebut.
Menerusi ciapan dalam Twitter yang telah dipadam, rata-rata netizen mula berteka-teki dan memetik nama Lan Pet Pet sebagai pelawak yang dimaksudkan. – K! ONLINE