KLANG – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan membangunkan data khusus berhubung ahli keluarga yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, langkah itu bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada keluarga terbabit dalam mengurangkan bebanan mereka selain sokongan dari segi emosi dan mental.
“Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan jumlah pesakit Covid-19 meninggal dunia yang mempunyai anak.
“Pembinaan data khas ini secara langsung akan membantu kita mengesan mereka dalam mempercepatkan sistem penyampaian bantuan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi lima beradik yang menjadi yatim piatu di Flat Sri Perantau di sini hari ini.
Kosmo! melaporkan kisah sedih Intan Iewanina serta adik-beradiknya yang sekelip mata menjadi yatim piatu apabila ayahnya, Allahyarham Mohd. Suhaimi Zakaria, 55 dan ibunya, Allahyarhamah Ramli Mukhtar, 43, meninggal dunia akibat jangkitan virus Covid-19, minggu lalu.
Rina memberitahu, bantuan bulanan sebanyak RM500 akan disalurkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada ahli keluarga yang berumur 18 tahun ke bawah.
Ujar beliau, Lembaga Kaunselor Malaysia juga akan berikan bantuan kaunseling kepada mereka sekiranya diperlukan dalam mengharungi situasi dialami mereka ketika ini.
“Saya secara peribadi akan memberikan wang saku sebanyak RM250 sebulan kepada Intan Iewanina sepanjang dia menduduki pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929