IPOH – Tiada peraturan khusus (SOP) sebagai panduan menyebabkan pengusaha restoran dan cafe di bandar ini belum bersedia menerima pelanggan untuk datang makan di kedai.
Tambah membimbangkan apabila pekerja mereka masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19.
Pemilik Konda Kondi Cafe & Bistro, Azril Aryandi berkata, peraturan operasi itu penting sebagai panduan termasuk tatacara berurusan dengan pelanggan.
Bagaimana pun katanya, kebenaran menerima pelanggan yang telah lengkap dua dos vaksin untuk makan di kedai disambut baik.
“Cuma, tanpa peraturan susah untuk kami kerana tidak jelas apa yang boleh dan tidak.
“Tujuh pekerja kafe saya misalnya masih belum menerima vaksin, jadi jika proses vaksinasi dapat disegerakan ia dapat mewujudkan komuniti selamat,” ujarnya kepada Kosmo!
Buat masa ini kafe hipster terkenal yang terletak di Jalan Sultan Idris Shah di sini kekal beroperasi dengan menerima pesanan secara dalam talian dan menggunakan khidmat penghantaran.
Sementara itu, pemilik sebuah kedai makan di Jalan Lahat, Mohamad Taufek Dan berkata, pelanggannya masih selesa membeli secara bungkus walaupun kebenaran makan dibolehkan.
Katanya, pelanggan memilih untuk makan di rumah atau di tempat kerja selain tidak mahu berada lama di kedai.
“Kebenaran untuk ‘dine in’ ini petanda positif selain boleh memacu kembali perniagaan apabila pelanggan datang makan di kedai sepertimana sebelumnya.
“Bagaimana pun, saya sendiri belum bersedia untuk pelanggan datang makan memandangkan kes jangkitan di Ipoh juga masih tinggi,” ujarnya.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929