MELAKA – Melaka dijangka beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh dua minggu lagi dengan melepasi indikator suntikan vaksinasi sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, Melaka kini telahpun melepasi indikator baharu peralihan bagi jumlah kes pesakit dalam Kategori 3, 4 dan 5.
Jelasnya, bagaimanapun indikator bagi kadar penilaian vaksinasi kedua membabitkan golongan dewasa masih berada di bawah paras, namun kadar 50 peratus ditetapkan dijangka dapat dicapai dalam tempoh dua minggu lagi.
“Bagi indikator kes bergejala kategori 3, 4 dan 5, sehingga semalam Melaka mencapai nilai ambang (6.1 per 100,000 penduduk) dengan kes kategori 3 merekodkan 11 kes atau 3.1 peratus dan kategori 5 sebanyak dua kes atau 0.5 peratus.
“Bagaimanapun, Melaka masih berada pada Fasa 1 susulan kadar suntikan vaksin golongan dewasa hanya mencecah 35.3 peratus, namun kita yakin kadar itu akan mencecah 50 peratus selewat-lewatnya dua minggu lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas membuat lawatan kerja melihat proses pengagihan hasil tanaman ubi kepada masyarakat setempat di Kampung Bukit Nibong, di sini, hari ini.
Tambahnya, penetapan indikator baharu itu sekali gus memberi peluang kepada rakyat Melaka untuk menikmati kemudahan sosial diberikan kerajaan pada hujung bulan ini termasuk merentas daerah dan makan di kedai.
Mengulas lanjut mengenai kadar peratusan suntikan dos kedua tersebut, Rahmad berkata, negeri-negeri lain di seluruh negara juga masih belum mencapai kadar peratusan tersebut.
“Untuk makluman, sebenarnya semua negeri masih belum mencapai 50 peratus dos kedua dan baru-baru ini Johor diberikan 2 juta dos kerana ingin menyeimbangkan jumlah peratusan kadar vaksinasi berbanding di negeri lain.
“Antara Melaka dengan Johor, negeri ini telah mengatasi dalam jumlah peratusan berbanding penduduk, manakala negeri-negeri lain yang telah berada di Fasa 2 sebelum ini juga belum mencapai 50 peratus,” katanya.
Tambahnya lagi, sehingga semalam negeri-negeri yang dilihat mampu mencapai kadar vaksinasi tersebut hanyalah Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929