fbpx

Pencapaian Malaysia seimbang, memuaskan pada Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REEZAL MERICAN mendedahkan satu program Khas Olimpik akan dilancarkan bagi memberikan lebih fokus dan dedikasi kepada sukan-sukan yang berpotensi untuk meraih pingat pada masa depan.

MESKIPUN gagal mencapai sasaran satu pingat emas tetapi kejayaan kontinjen negara memenangi satu perak dan gangsa tetap dianggap satu pencapaian seimbang dan memuaskan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tetap memohon maaf atas kegagalan kontinjen negara membawa pulang satu pingat emas yang sudah lama didambakan seluruh rakyat Malaysia sejak 1956.

“Saya mewakili kontinjen Malaysia, ikhlas dan jujur ingin memohon maaf, minta ampun kerana tidak dapat sempurnakan impian untuk bawa balik tiga pingat, tidak dapat membawa pingat emas.

“Ia (pingat emas) terus kekal elusif tetapi ia adalah permulaan yang dapat kita lakukan dalam misi untuk ke Paris 2024.

“Pencapaian mereka kali ini dengan pendedahan atlet-atlet muda, saya optimis kita akan mulakan rentak baharu untuk melakar kejayaan lebih hebat demi negara,” katanya pada sidang akhbar kontinjen negara di Tokyo.

Malaysia berjaya meraih pingat perak menerusi Datuk Mohd. Azizulhasni Awang dalam acara berbasikal trek keirin, manakala gangsa dimenangi daripada sukan badminton melalui beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Ia sekali gus menyamai pencapaian kontinjen negara pada edisi London 2012 yang ketika itu turut memenangi satu pingat perak dan gangsa melalui Datuk Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong.

Pada masa sama, Reezal mendedahkan, satu program Khas Olimpik akan dilancarkan bagi memberikan lebih fokus dan dedikasi kepada sukan-sukan yang berpotensi untuk meraih pingat.

“Kita nak perkasakan badan-badan sukan, persatuan-persatuan sukan kebangsaan yang mempunyai keupayaan mengangkat atlet berprestasi tinggi untuk pingat dalam pelbagai temasya sama ada Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik,” jelasnya. K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI