fbpx

Kebenaran dine-in cetuskan kegusaran orang ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEKERJA Ayang Cafe di Kota Bharu mengemas peralatan selepas premis itu akan ditutup dua minggu ekoran bimbang diserbu pelanggan.

PETALING JAYA – Kelonggaran operasi kedai makan yang membenarkan dine-in di premis mencetuskan kegusaran dalam kalangan peniaga dan orang ramai kerana dibimbangi mencetuskan penularan varian ­Covid-19.

Rata-rata peniaga menyatakan kegusaran sekiranya premis mereka menjadi lokasi penyebaran varian Delta memandangkan virus itu lebih dominan dan cepat merebak.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan kelonggaran itu bagi pe­nerima vaksinasi lengkap di negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.

Di Kota Bharu, pemilik Ayang Cafe, Nor Hazelizan Mamat, 42, berkata, dia mengambil keputusan untuk menutup perniagaan selama dua minggu meskipun kerajaan sudah memberi kebenaran untuk makan di kedai.

Dia terpaksa membuat keputusan itu ekoran bimbang pe­langgan akan menyerbu premisnya di Jalan Masjid Langgar yang dibuka seawal pukul 6 pagi setiap hari.

“Sekiranya kedai saya dibuka, ia akan menjadi pusat untuk pelanggan dari Kota Bharu dan daerah-daerah lain berkumpul. Ini amat berisiko terutamanya varian Delta sudah semakin me­nular ketika ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.


SHAMSUL MUNIR SAFINI, 37, mengemas restorannya di Seberang Perai bagi menerima pelanggan untuk dine-in.

Sementara itu, di Machang, pemilik kedai makan Warung Kak Ani, Zulaani Che Soh, 57, berkata, dia meminta kerajaan membuat perincian tertentu se­perti hanya dibenarkan selama 30 minit berada di dalam gerai.

“Jika tiada had masa, saya percaya pelanggan tidak akan endah dan akan duduk di kedai dalam tempoh masa yang lama,” ujarnya.

Di Kuala Nerus, pengusaha Restoran ZZA Ikan Bakar, Mohd. Zamri Mohd. Noor, 53, berkata, pengumuman itu amat melegakan beliau yang amat terdesak sebelum ini sehingga hampir menggadaikan tanah bagi meneruskan kehidupan ekoran tidak dapat beroperasi selama tiga bulan.

“Saya terdesak sehingga pernah merancang untuk menjual tanah kepunyaan keluarga memandangkan wang simpanan hanya mampu bertahan sehingga Oktober sahaja,” katanya ketika ditemui semalam.

Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Pengusaha-Pengusaha Resort Pulau Redang, Lim You Jing berkata, sebahagian besar pengusaha resort di rangkaian pulau peranginan di Terengganu agak keberatan untuk membuka operasi pada masa terdekat walaupun kelonggaran pelancongan domestik telah dibenarkan kerajaan mulai hari ini.

“Pengusaha resort di Pulau Redang bersepakat mengambil pendekatan berhati-hati dan hanya akan kembali beroperasi setelah kesemua kakitangan mereka menyelesaikan proses vaksinasi Covid-19,” ujarnya.

Di Temerloh, Pakar Ortopedik Medical Mythbuster Malaysia, Dr. Mahyuddin Mohamed menasihatkan orang ramai agar perlu memberikan keutamaan kepada keselamatan diri dan keluarga masing-masing.

“Dine-in itu tak payahlah tuan puan, amat berisiko dan tidak berbaloi. Walaupun ada kelonggaran saya nasihatkan anda untuk elakkan ke tempat awam melainkan perlu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI