fbpx

Sarah pesan jaga anak-anak dengan baik – Shuib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sarah meminta suaminya, Shuib agar menjaga anak-anak mereka dengan baik.

PETALING JAYA – “Dia nak saya jaga anak-anak dengan baik.”

Itu pesanan dan kata-kata akhir isteri kepada pelawak terkenal, Shuib iaitu Allahyarham Siti Sarah Raissuddin sebelum dia ditidurkan Jumaat lalu.

Menurut Shuib, dia akan memegang dan menunaikan janji yang ditinggalkan isterinya itu sekali gus menjadi bapa dan ketua keluarga terbaik walaupun tanpa isteri di sisi.

“Saya berjanji akan didik anak-anak sebaik mungkin sampai mereka menjadi anak yang soleh dan solehah, Insya-Allah,” katanya ringkas ketika ditemui usai majlis pengebumian isterinya di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak tengah hari tadi.

Reda dengan pemergian bidadari syurganya itu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad berharap semua orang dapat mendoakan perjalanannya bersama anak-anak selepas ini dipermudahkan.

“Arwah sempat hadiahkan saya menerusi kehadiran Ayash Affan yang dilahirkan Jumaat lalu. Arwah bergelut untuk menyelamatkan anak kami. Ternyata, Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Terdahulu, Siti Sarah, 37, disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (PPUKM), Cheras pada pukul 5.13 pagi tadi.

Rabu lalu Siti Sarah dimasukkan ke ICU hospital berkenaan selepas tahap oksigen dalam badannnya menurun.

Siti Sarah kemudiannya ditidurkan sebelum pembedahan dijalankan dan selamat melahirkan bayi lelaki berusia tujuh bulan yang diberi nama Ayash Affan.

Dia bersama suami yang juga pelawak, Shuib disahkan positif Covid-19 pada 25 Julai lalu.

Mereka bernikah pada 26 Februari 2011 dan dikuniakan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

Jenazah Siti Sarah selamat dikebumi diiringi laungan azan Zuhur sekitar pukul 1.35 petang tadi oleh petugas kesihatan dan beberapa ahli keluarga terdekat yang lengkap memakai pakaian perlindungan khas (PPE). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI