IPOH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak menggagalkan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras bernilai RM1.65 juta dalam tiga serbuan berasingan di Teluk Intan dan Ipoh baru-baru ini.
Penolong Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan), Datuk Abdul Wahabi Abdullah berkata, dalam serbuan itu, lebih 1.7 juta batang rokok dan 1,033.24 liter minuman keras pelbagai jenama dirampas.
“Dalam serbuan pertama pada 24 Julai lalu kira-kira pukul 5 pagi, JKDM Stesen Teluk Intan telah menjalankan serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah lori yang ditinggalkan di ruang parkir di hentian rehat Batuk Rabit, Batu Putih di Teluk Intan.
“Hasil pemeriksaan menjumpai 1.3 juta batang rokok putih disyaki barang larangan kastam dengan nilai cukai, duti dan harga lebih RM1.2 juta,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Menurut beliau, serbuan kedua dijalankan pada 30 Julai lalu kira-kira pukul 12 tengah hari di sebuah rumah di Taman Impiana dekat Teluk Intan.
Katanya, sebanyak 407,200 batang rokok pelbagai jenama dirampas dengan nilai cukai, duti dan harga berjumlah RM350,000.
“Serbuan ketiga pula dijalankan Jumaat lalu di sebuah premis di Menglembu di mana sebanyak 1,033.24 liter minuman keras pelbagai jenama yang disyaki barang larangan Kastam dirampas.
“Pemeriksaan mendapati, minuman keras dengan nilai cukai, duti dan harga berjumlah RM100,000 itu disimpan di ruang rahsia di premis berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan dan lelaki warga Pakistan ditahan untuk membantu siasatan.
“Ketiga-tiga kes akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967, Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 32(1) Akta Eksais 1976,” katanya.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929