SPIELBERG, AUSTRIA – Pelumba Monster Energy Yamaha, Maverick Vinales menyambar petak hadapan Grand Prix (GP) Austria selepas mengetepikan cabaran pelumba pasukan Pramac Racing, Jack Miller di Litar Red Bull Ring malam tadi.
Vinales mencatatkan masa 1 minit 23.450 saat (s) untuk kelebihan 0.068s berbanding Miller yang bakal memulakan perlumbaan di Litar Red Bull Ring di petak kedua.
Pendahulu kejuaraan perlumbaan, Fabio Quartararo (Petronas Yamaha SRT) terpaksa berpuas hati memulakan perlumbaan tempat ketiga selepas hanya dibezakan 0.087s dengan Vinales selepas merekodkan masa terpantas 1minit 23.537s.
Pelumba Itali, Andrea Dovizioso yang disahkan tidak akan beraksi bersama Ducati musim depan tampil cemerlang apabila mencatat masa keempat terpantas dengan catatan 1 minit 23.606s.
“Semalam kami sedikit berdepan masalah dengan jentera dan hari ini kami mendapat pelarasan yang cukup sempurna. Jentera berada dalam keadaan baik dan saya tidak berdepan masalah pada hari ini.
“Terima kasih kepada pasukan kerana mereka bekerja keras mendapatkan pelarasan yang terbaik. Saya harap mampu lakukan sebaik mungkin untuk memburu kemenangan pertama musim ini.
“Mungkin bukan tugas mudah tetapi bukan sesuatu yang mustahil untuk melakukannya,” kata Vinales.
Sementara itu, pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Pol Espargaro yang mendominasi sesi latihan pertama dilihat bekerja keras pada sesi kelayakan apabila menamatkan sesi tersebut di kedudukan kelima terpantas (1 minit 23.612).