SHAH ALAM – Seorang penolong jurutera Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM5,000 sebagai balasan bagi kerja-kerja membaik pulih, Januari tahun lalu.
Tertuduh, Nurul Azmunir Ahmad, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai penolong jurutera Gred JA29 Majlis Daerah Kuala Selangor ketika kejadian telah menerima wang tunai RM5,000 daripada seorang kontraktor berusia 46 telah memberikan nilai anggaran jabatan bagi sebutharga kerja-kerja membaik pulih ‘Catwalk’ ( laluan bersimen).
Selain itu, wang diterima itu juga bagi balasan kerja-kerja berkaitan di Kampung Bagan Sungai Yu, Pasir Penambang di Kuala Selangor dibawah projek-projek kecil Kampung Baru/ Bagan/ Tersusun Negeri Selangor.
Kesalahan itu dilakukan di Taman Kuala Selangor Utama di antara pukul 5 hingga 7 petang pada 15 Januari tahun lalu.
Justeru, Nurul Azmunir yang masih bertugas di MPKS itu dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fadhli Ab. Wahad menawarkan jaminan RM10k bersama penjamin dengan syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap sebulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Tertuduh pula diwakili Peguam Hamdan Hamzah bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan penjamin adalah isterinya sendiri.
Mahkamah menentapkan jaminan RM6,000 dan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan sebutan semula kes pada 13 September. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929