PETALING JAYA – Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Benarlah kata orang, hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga.
Hujan kedukaan yang melanda seluruh peminat dunia seni hiburan, keluarga dan teman-teman artis atas kehilangan Siti Sarah Raisuddin bukan hanya disebabkan Allahyarham seorang penyanyi popular, bahkan disenangi sebagai seorang insan yang berhati emas buat sesiapa yang dekat dengannya.
Kesayuan dan kepiluan sama turut dirasai pelakon Uqasha Senrose yang sebenarnya merancang untuk meminta Allahyarham menyanyikan sebuah lagu pada hari perkahwinannya yang sepatutnya berlangsung Jun lalu. Biarpun perancanagn tidak menjadi akibat penundaan majlis, namun hubungan baik dan kemesraan yang ditunjukkan Sarah terhadap Uqasha sungguh bermakna.
Ketika pelakon Perempuan Tanpa Dosa itu bertanyakan harga bayaran yang dikenakan Siti Sarah untuk sebuah lagu, isteri Shuib bagaimanapun menyatakan kesanggupannya untuk melakukan persembahah secara percuma khas buat Uqasha.
“Salam takziah kepada abang Shuib dan anak-anak. Ya Allah, berita yang sangat mengejutkan, Kak Sarah. Arwah orang yang sangat-sangat baik. Ya Allah, sukarnya untuk saya terima semua ini.
“Kak Sarah janji nak menyanyi untuk majlis perkahwinan saya. Subhanallah. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Amin. Saya akan merinduimu Kak Sarah. Al-fatihah,” tulisnya dalam hantaran Instagram.
Sebagai perkembangan terkini, jenazah Siti Sarah masih berada di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM). Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Sungai Pusu, Gombak, Selangor sekitar tengah hari nanti. – K! ONLINE