fbpx

Video pelukan terakhir, lagu Kesetiaan tular kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar dua video yang tular dalam media sosial sejak awal pagi tadi.

PETALING JAYA – Bukan sahaja keluarga dan rakan selebriti, pemergian Allahyarham Siti Sarah awal pagi tadi turut ditangisi seluruh rakyat Malaysia.

Hasil tinjauan Kosmo! Online, media sosial khususnya Twitter hari ini sugul dan dihujani dengan ucapan takziah daripada peminat buat Shuib sekeluarga.

Selain foto dan ucapan, tular beberapa video pendek memaparkan kenangan Siti Sarah bersama Shuib dan tiga anaknya turut melatari hampir setiap hantaran semua orang.

Antara yang kerap dikongsikan adalah video detik terakhir sebelum Siti Sarah dibawa ke hospital selepas bacaan paras oksigen dalam badannya menurun.

Dalam video tersebut, Sarah dilihat memeluk tiga anaknya dalam keadaan memakai pelitup mulut oksigen.

Namun, siapa sangka, itu merupakan pelukan dan detik terakhir Sarah bersama tiga cahaya matanya.

“Rupa-rupanya ini pelukan terakhir si ibu dengan anak-anaknya. Semoga Shuib terus kuat hadapi dugaan ini,” komen seorang pengguna media sosial.

Sementara itu, beberapa video Siti Sarah menyanyikan lagu popularnya, Kesetian turut tular dalam media sosial sejak pagi tadi.

Rata-rata berpendapat lagu tersebut kini telah membawa satu makna yang lebih besar selepas pemergian Siti Sarah.

“Kesetian meninggalkan kesan lain sekarang ini. Semoga tenang di negeri abadi Siti Sarah, innalillah,” ciap seorang lagi pengguna Twitter.

Untuk rekod, Siti Sarah, 37, disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), Cheras pada pukul 5.13 pagi tadi.

Terdahulu Siti Sarah dimasukkan ke ICU hospital berkenaan selepas tahap oksigen menurun.

Siti Sarah kemudiannya ditidurkan sebelum pembedahan dijalankan dan selamat melahirkan bayi lelaki yang diberi nama Ayash Affan.

Dia bersama suami yang juga pelawak, Shuib disahkan positif Covid-19 pada 25 Julai lalu.

Pasangan tersebut berkahwin pada 26 Februari 2011 dan dikuniakan tiga lagi cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI